Mengandung di Luar Rahim



Kandungan di luar rahim membawa risiko tinggi kepada nyawa ibu dengan kebarangkalian agak rendah kandungan mencapai tempoh penuh kandungan dengan selamat.

Untuk persenyawaan biasa, pertemuan di antara benih telur dan sperma berlaku di tiub fallopian. Telur yang difertilisasikan ini sepanjang tiub fallopian akan bertambah bilangan selnya sehingga ke satu bentuk yang dinamakan blastosis, dengan bilangan selnya di antara 70 hingga 100. Penanaman blastosis berlaku di endometrium di dalam rahim dan ianya akan membesar.

Mengandung di luar rahim berlaku apabila penanaman (implantasi) terjadi di tempat lain selain dinding dalaman rahim. Kadar tumbesaran kandungan akan terbantut dan perlu didiagnosa dan dirawat dengan segera.

Kebanyakan kandungan di luar rahim berlaku di tiub fallopian, namun begitu, implantasi juga boleh berlaku di tempat-tempat lain seperti di rongga abdomen, ovari dan sebagainya. Disebabkan ruang untuk membesar terhad di dalam tiub fallopian, tiub tersebut boleh pecah dan menyebabkan pendarahan yang banyak dan ini menggugat nyawa. Keadaan ini genting serta getir dan rawatan segera perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa.

Sekiranya dikesan awal dan tiub masih lagi utuh dan tidak pecah serta tahap hemodinamik yang stabil, pesakit boleh dirawat dengan ubat ataupun sekiranya pembedahan diperlukan, pembaikian serta restoratif tiub dapat dilakukan. Ini penting sekiranya pesakit masih ingin menambah bilangan ahli keluarga pada masa hadapan. Sekiranya tiub terpaksa dikorbankan, bermakna pesakit hanya bergantung pada satu tiub untuk keupayaan reproduksi.

Mereka Yang Berisiko

Statistik di barat menyatakan mengandung di luar rahim berlaku setiap 50 ibu mengandung. Kebelakangan ini, insiden mengandung di luar rahim meningkat.

Tiub fallopian yang abnormal memberikan risiko yang tinggi untuk implantasi kandungan yang abnormal. Kejadian tiub fallopian abnormal berlaku di kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko berikut:

* Mempunyai jangkitan di organ rahim, tiub fallopian dan juga organ-organ pelvik berhampiran. Secara kolektif, jangkitan ini dipanggil jangkitan keradangan pelvik.

* Sejarah lampau mengandung di luar rahim.

* Sejarah kemandulan.

* Sejarah pembedahan di pelvis dan juga abdomen.

* Endometriosis

* Penyakit tularan seksual.

* Pembedahan yang melibatkan tiub fallopian seperti sterilisasi tubal. Keadaan ini menyebabkan pergerakan telur yang telah difertilisasi terencat dan implantasi berlaku di tempat lain.

* Merokok

* Mengandung pada umur yang lanjut.

Ada yang mengandung di luar rahim tetapi tidak mempunyai rungutan. Ada pula yang tidak tahu yang beliau mengandung. Lazimnya simptom-simptom yang dialami serupa dengan simptom mengandung seperti mual,loya,letih tidak bermaya dan sebagainya.

Rawatan

Berdasarkan kepada kestabilan petanda penting dan juga tempat berlakunya implantasi abnormal, rawatan mungkin dilakukan secara pembedahan ataupun tanpa pembedahan.

Tanpa pembedahan

Sekiranya pesakit stabil dan saiz kandungan kecil dan masih utuh, ubat methotrexate, iaitu sejenis ubat anti neoplastik kanser digunakan. Ubat ini menyebabkan sel-sel berhenti bilangannya, menyebabkan kandungan berhenti dan diserap oleh badan. Bukan semua dapat menerima kaedah perawatan ini. Mereka yang menyusu badan serta masalah kesihatan lain tidak dibenarkan perawatan secara kaedah ini.

Biasanya ubat ini diberikan sekali sahaja, dan proses penyerapan kandungan memakan masa sehingga 4-6 minggu. Darah akan diamati paras hormon hCG pada sebelum, selepas tiga hari dan juga selepas seminggu. Paras hormon ini sepatutnya menurun dan sekiranya keadaan sedemikian tidak berlaku, pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan.

Mungkin dalam tempoh tersebut, pesakit perlu berada di wad untuk diamati perkembangan petanda penting badan.

Methotrexate adalah satu ubat yang merbahaya, semasa dan juga seketika selepas perawatan. Pesakit dinasihatkan supaya mengelakkan daripada :

* meminum alkohol
* memakan vitamin yang mengandungi asid folik
* memakan ubat tahan sakit jenis NSAID (non steroidal antiinflammatory drugs)
* melakukan hubungan kelamin(hentikan sementara).

Kaedah tanpa pembedahan mungkin menyebabkan pesakit mengalami sakit-sakit di bahagian abdomen dan mungkin juga pendarahan faraj. Juga simptom-simptom lain seperti loya-loya dan muntah-muntah, kekerapan membuang air besar dan juga pening-pening.

Beritahu doktor serta jururawat sekiranya pesakit dirawat secara tanpa pembedahan dan tiba-tiba mengalami kesakitan abdomen yang amat sangat ataupun tahap kesakitan bertambah, pendarahan melalui faraj bertambah, rasa pening serta ingin pitam dan juga degupan jantung dirasai bertambah. Mungkin jika implantasi abnormal ini pecah dan berdarah, kaedah rawatan lain perlu dilakukan.

Melalui pembedahan

Terdapat dua cara pembedahan, iaitu secara pembedahan terbuka dan juga secara laparoskopik. Apa jua kaedah pembedahan ini, tujuan asas mereka adalah untuk membuang implantasi abnormal yang berlaku, menghalang pendarahan selanjutnya daripada memudaratkan nyawa.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar